Bob

6.ARTIKEL SEMASA

Pembiak No. 1 Australia

Dia memenangi pelbagai anugerah baka kambing Boer terbaik lantaran kambingnya yang mempunyai ketahanan yang lebih tinggi dan mampu membiak dengan baik. Dia dianggap Raja Boer.


JIM BOER di ladangnya di New South Wales, Australia.


PADA tahun 1995, Jim Boer atau nama sebenarnya Jim Mayall Gilgandra hanyalah seorang penternak kambing biasa. Berbekalkan sekawan kecil kambing komersial serta tambahan dua ekor kambing Boer betina dan seekor kambing Boer jantan, dia memulakan usaha taninya yang tidak seberapa.

Namun, penternak kecil di New South Wales (NSW), Australia ini memiliki jiwa yang besar.

Merasakan tiga ekor kambing Boer yang dibelinya itu tidak memenuhi piawaian sama ada untuk tujuan komersial mahupun perusahaan, dia bertekad bahawa sesuatu perlu dilakukan.

Usaha demi usaha dilakukan Jim, 55, untuk menghasilkan mutu baka yang lebih baik. Tanpa latar belakangkan pengetahuan sains dan ilmu genetik, anak jati keluarga peladang ini memasang strategi mencatur pembiak bakaannya sendiri.


JIM BOER (kanan sekali) bersama pakar Boer Afrika Selatan, Izak Vorster (dua dari kanan).


Kini, kejayaan telah digapainya. Ladang Jimboer Boer Goat Stud yang diusahakan bersama isterinya, Lyn Mayall di kawasan barat NSW, menjadi saksi akan kegemilangannya. Ladangnya merupakan ladang kambing Boer pertama di Australia yang mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Kambing Boer Afrika Selatan yang cukup berprestij seawal tahun 2004 lagi.

Afrika Selatan merupakan negara susur galur Boer, kambing bertubuh putih dan berkepala coklat itu bermula.

Bukan sekadar dinobatkan sebagai pembiak Boer nombor satu di Australia, bahkan dengan beberapa pihak di Afrika Selatan yang mahu membeli bakanya sudah cukup untuk menjawab sejauh mana Jim telah pergi dalam pencapaiannya.

BOER hasil bakaan Jim yang baru memenangi kejohanan Canberra Royal 2008.



Barang kali, dengan reputasi sedemikian, tidak hairan jika ada yang memberi gelaran kepadanya sebagai Raja Boer atau pembiak baka Boer terbaik dunia.

“Benar, saya telah menerima permintaan daripada Afrika Selatan yang mahu membeli embrio baka Boer saya. Saya menjangka akan mengeksportnya ke sana pada tahun depan,” ujar Jim Boer ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. Nada suaranya daripada corong telefon berbunyi tenang walaupun ketika menyampaikan sesuatu, yang pada hemat penulis, sewajarnya mengujakannya.

Siapa sangka, bermula daripada tiga ekor kambing Boer lebih 13 tahun lalu yang disifatkan beliau amat teruk kualitinya, kini 300 ekor kambing Boer yang berada pada tangannya ialah sekelompok kambing Boer dengan kualiti paling tinggi.

AHMAD TARMIZI bersama Jim Boer.



Tidak cukup dengan itu, baka-baka kambing Boernya telah diperakui sebagai baka yang sangat bagus dan amat dipandang tinggi oleh pakar-pakar penilai Boer dari Afrika Selatan sendiri seperti Jackie Jordaan, Koenie Kitze, Francois Maritz dan Izak Vorster.

Jordaan menyifatkan kunjungannya ke ladang Jim pada tahun 2005 sebagai satu pengalaman yang mengejutkan kerana ia menghasilkan kualiti baka Boer yang hebat.

Apa yang paling mengagumkannya ialah sifat feminin yang ketara kambing-kambing Boer betinanya dan kegagahan kambing-kambing Boer jantannya mencakupi segenap segi.



Vorster pula mengakui kambing-kambing Boer baka Jim adalah jenis kambing Boer paling cemerlang.

Menghadapi ujian getir seperti kemarau panjang bertahun-tahun, itu merupakan antara tribulasi besar yang dilaluinya. Memang Boer dikatakan boleh menyesuaikan diri dalam suasana kering tetapi hakikat kemarau selama tujuh tahun berturut-turut di NSW sehingga kini suatu yang amat menyukarkan.

“Memang kemarau menambahkan kesukaran. Air adalah keperluan asas semua makhluk hidup,” ujarnya yang terpaksa mendapatkan sumber air dengan mengorek perigi bagi memastikan tanaman hay yang menjadi makanan Boernya sentiasa subur.

“Apa yang boleh saya katakan, kejayaan ini adalah berakar umbi daripada keyakinan, kerja keras, kejujuran dan integriti yang saya amalkan selama ini,” kata bapa kepada empat orang anak ini. Anak-anaknya berusia antara 14 hingga 28 tahun.

Jim kini giat melakukan percubaan peribadi berasaskan kehandalannya dalam ilmu genetik Boer untuk perusahaan daging Boer. Ia turut dilakukan dengan sokongan pembiak baka Australia yang lain seperti Daryl dan Naree Greenaway. Setakat ini, Boer jantan terbesar yang dihasilkan ialah 140 kilogram dan Boer betina ialah 98 kilogram.



Usaha membiak baka tidak pernah terhenti dan dia selalu mengungguli pelbagai kategori dalam kejohanan Boer di Australia sejak tahun 2005 sehinggalah terbaru di Canberra Royal 2008.

“Apabila bercakap tentang membiak baka, ia bukanlah suatu yang boleh diterangkan dengan mudah begitu sahaja. Banyak perkara dan teknik yang perlu dipelajari. Saya nasihatkan kepada mereka yang mahu membiak baka kambing Boer, mempelajarinya terlebih dahulu agar kesulitan dapat dielakkan,” ujarnya sambil mengakui ‘praktikal hidup’ merupakan gurunya selama ini.

Jim jujur mengakui matlamat utamanya selepas ini ialah untuk menyebarkan ilmu mengenai Boer kepada sesiapa sahaja yang dahagakan ilmu untuk mempelajarinya.

Pengurus ladang Agrotrus Sdn. Bhd. dari kumpulan BoerBest, di Ijok Selangor, Ahmad Tarmizi Mohamad merupakan antara insan yang pernah berhubung secara langsung dengan Jim. Dia telah berkelana ke bumi Australia dua tahun yang lalu untuk menemui Jim, individu asing yang belum pernah ditemuinya, demi menuntut ilmu Boer.

“Kepala saya asyik ligat berfikir bagaimanalah penerimaannya. Yalah, rasa rendah diri sangat sebab kita tidak tahu banyak mengenai Boer. Tetapi, perasaan itu hilang, apabila layanan mesra yang diberikan buat kita selesa.

“Apa yang boleh saya katakan, Jim seorang yang sanggup mengajar seseorang walau berada di tahap paling bawah pun. Kata-katanya banyak berdasarkan fakta dan dia bukanlah seorang yang suka mendabik dada memperkatakan kehebatannya. Dia seorang yang merendah diri,” ujar Ahmad Tarmizi yang disifatkan sebagai orang Asia pertama menemui Jim di Australia.

“Saya menjadikan dia sebagai idola. Kita lihat bagaimana bermula dengan ‘sifar’, tanpa pelajaran tinggi dan pengetahuan yang terhad, dia boleh menjadi sebegitu sukses,” ujarnya.

Jika anda masih sangsi tentang kehebatan Jim, mungkin kandungan sepucuk emel daripada seorang individu dari Afrika Selatan yang ditujukan kepada Jim mampu merungkainya. Ia lebih kurang berbunyi:

“Saya tidak akan berhenti membiak baka kambing Boer sehinggalah saya dapat menghasilkan kualiti Boer seperti anda.”

Ogos ini, Jim Boer dijangka akan memberikan ceramah mengenai Boer di negara ini. Untuk maklumat lanjutan mengenai ceramah dan kursus berkenaan sila hubungi talian 016-317 5930 (Melissa), 012-941 5166 (Amat) dan 013-388 3635 (Shukor).

Siswazah sahut cabaran ceburi bidang ternakan

Lambang kejayaan… Harfirdaus Che Lah bersama kakitangannya di hadapan kedai jualan mereka di Saujana Impian, Kajang.

Tidak ada yang lebih istimewa bagi seorang siswazah apabila berpeluang menimba pengalaman sebagai pengurus operasi perniagaan peruncitan dan pemborong sedangkan baru sahaja menggenggam segulung ijazah.

Lebih istimewa, kerjaya barunya menuntut lebih usaha untuk mendapatkan pengetahuan kerana ia berkaitan pemasaran produk berasaskan ternakan sedang, ijazah yang dimiliki dalam bidang kejuruteraan elektrik.

Justeru, `haluan’ yang dipilih nyata menyimpang jauh daripada ilmu yang ditimba di universiti tetapi bagi Harfirdaus Che Lah, dalam usia yang baru mencecah 23 tahun, dia menganggapnya sebagai satu cabaran yang memerlukan kecekalan, keberanian selain tidak berputus asa untuk menambah pengetahuan.

“Saya sudah jatuh cinta dengan perniagaan ini, ujarnya,‘’ ketika ditemui di pejabatnya di Kajang baru-baru ini.

Harfirdaus Che Lah yang memegang jawatan Eksekutif Operasi, Perfect Fresh and Frozen nyata enggan menambah bebanan fikirannya bahawa bidang yang agak asing baginya boleh menjadi batu penghalang mencapai kejayaan.

Malah dia yang pernah bertugas sebagai pelatih pengurus di sebuah syarikat makanan segera akan memanfaatkan ilmu yang dimiliki untuk memajukan syarikat berkenaan yang baru membuka outlet di Jalan Impian Murni, Saujana Impian, Kajang, Selangor.

Syarikat yang diuruskan oleh KMJ Supplies Sdn. Bhd. itu beroperasi sebagai pemborong dan peruncit bekalan daging lembu, kambing Boer, rusa, unta, burung unta, arnab dan ayam kampung.

Selain itu, syarikat terbabit juga memasarkan ayam turki, burung puyuh, itik dan susu kambing.

Syarikat terbabit menawarkan sistem francais kepada mana-mana pengusaha yang berminat memasarkan produk-produk berkenaan, dengan tujuan membantu pengusaha ladang di peringkat pengeluaran untuk memasarkan hasil mereka.

“Ada masa ini, kami memperoleh bekalan dari merata tempat di seluruh negara dan ini sekali gus dapat pengusaha memasarkan hasil ladang mereka,” kata Harfirdaus.

Sebagai contoh, bekalan ayam kampong diperoleh dari projek penternakan membabitkan ibu tunggal di Kuala Selangor, burung puyuh (Pulau Pinang), itik (Tampin), arnab (Broga) dan burung unta dari Beranang, Selangor.

Pengusaha menghantar bekalan daging mereka selepas diproses manakala syarikat terbabit membungkusnya dengan potongan dengan saiz tertentu memudahkan suri rumah menyediakannya untuk dimasak.

Apa yang pasti, konsep pemasaran bekalan produk berasaskan daging itu memperkenalkan konsep baru dalam pemasaran daging yang bukal sahaja, segar tetapi halal dan bersih.

Menurut Harfirdaus, meskipun baru dibuka pada 24 November lepas, pengunjung sudah mula memenuhi outlet tersebut sejak awal pagi khususnya pada hari cuti.

Ini kerana konsep yang mudah untuk membuat pilihan dan jenis daging ternakan yang pelbagai, mendorong mereka mendapatkan produk yang diperlukan.

Meskipun tidak semua daging yang dijual hasil daripada ladang ternakan tempatan, syarikat terbabit menjanjikan produk yang segar dan berkualiti.

Malah, selain pasaran runcit, pengguna juga boleh membuat tempahan untuk mendapatkan daging yang dikehendaki dan akan dihantar ke destinasi yang diminta

Menurut Harfirdaus, pihaknya juga menyasarkan kepada syarikat penyajian makanan (catering) kerana ia menawarkan satu pasaran besar bagi bekalan daging mentah.

Selain itu, syarikat terbabit juga membekalkan susu kambing segar berjenama Vcals ke beberapa buah hospital selain dijual secara runcit.

Pada masa ini, syarikatnya mampu mengedar antara 400 dan 500 botol sehari kepada pelanggan terbabit.

Dengan modal awal sebanyak RM250, 000 bagi melengkapkan outlet yang menempatkan pusat jualan, bilik pemotongan serta bilik sejuk beku serta kakitangan seramai empat orang setakat ini, Harfidaus ternyata mempunyai tanggungjawab berat memajukan perniagaannya,

Kita kena berani bersemangat dan yakin dengan diri.

Mengenai konsep francais, beliau percaya dapat mengembangkan lagi usaha tersebut melibatkan 10 buah cawangan dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Info ringkas mengenai industri penternakan ruminan:

* Kadar sara diri (SSL) bagi lembu dan kambing masih rendah iaitu masing-masing 18 peratus dan sembilan peratus.

* Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), dan Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) serta Pelan Imbangan Dagangan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meletakkan sasaran SSL 40 peratus bagi lembu dan 35 peratus bagi kambing menjelang 2010.

* Bagi mencapai sasaran tersebut, pengeluaran lembu dan kerbau yang diperlukan ialah sebanyak dua juta ekor.

* Lebih 723,000 ekor lembu betina dan lebih 338,000 ekor lembu disembelih dengan mengambil kira 60 peratus kelahiran dan 40 peratus lagi baka pembiak.

* Bagi industri kambing pula, lebih satu juta ekor diperlukan dengan bilangan pembiak lebih 380,000 ekor dan yang disembelih 3000,000 ekor setahun menjelang 2010.

* Pada masa ini, dianggarkan terdapat 23,800 pernternak terdapat di negara ini meliputi semua komoditi ternakan.

– Penternak lembu- 13,950 orang

– Penternak kambing-3,544 orang

– Industri kambing:

– Penternak tradisional- 75 peratus

– Penternak semi komersial- 15 peratus

– Penternak komersial-10 peratus

Antara projek utama:

* Pusat Pengeluaran Kambing Boer Negara seluas 4-5 hektar dio Pondok Tanjung, Taiping Perak

* Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan

Inginkan kertas kerja perniagaan berkualiti dan diterima oleh MARA dan SMEBank?Dapatkan DiSini!!

Kimia haram dikesan pada daging, udang

Tan Chin Meng (tengah) memeriksa harga barangan yang dibungkus dalam hamper di sebuah pasar raya dalam Ops Shu di Ipoh, semalam.

IPOH 29 Jan. – Jabatan Kesihatan Negeri Perak mengesan daging dan udang segar yang dijual di sebuah pasar raya terkemuka di sini mengandungi sulfur dioksida, bahan kimia yang diharamkan penggunaannya dalam makanan.

Kedua-dua makanan itu gagal dalam ujian saringan semasa jabatan berkenaan menjalankan operasi bersepadu sempena perayaan Tahun Baru Cina bersama Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Sumber Manusia Perak, Datuk Tan Chin Meng berkata, daging dan udang berkenaan telah diuji dengan mencampurkannya bersama sejenis agen yang akan berubah warna jika mengandungi bahan pengawet.

Hasil ujian tersebut, katanya, daging dan udang berkenaan didapati positif mengandungi sulfur dioksida dan ia akan menjalani satu lagi ujian di makmal.

“Jika ujian akhir di makmal mengesahkan kehadiran sulfur dioksida itu, ia akan dirujuk kepada pihak pembekal kerana pasar raya hanya menjual makanan tersebut tanpa mengetahui bahan pengawet itu,” ujarnya.

Bercakap kepada pemberita semasa menyertai operasi itu di sini hari ini, Chin Meng berkata, mereka yang menggunakan bahan pengawet haram dalam makanan boleh didakwa di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Mengenai operasi itu, katanya, ia bertujuan memastikan peniaga mematuhi undang-undang supaya menjual makanan segar yang bebas daripada penggunaan sulfur dioksida dan asid borik serta benar-benar berkualiti kepada pengguna sepanjang perayaan TBC.

Katanya, operasi itu turut memeriksa hamper, mengambil sampel limau mandarin untuk analisis racun perosak dan makanan dalam tin yang sudah rosak.

Tambahnya, pemeriksaan secara bersepadu itu akan diteruskan sehingga sambutan perayaan Cap Goh Meh pada 21 Februari depan.

Inginkan kertas kerja perniagaan berkualiti dan diterima oleh MARA dan SMEBank?Dapatkan DiSini!!

Menari dengan burung unta

Seorang juruterbang berpengalaman sanggup meninggalkan keseronokan membelah ruang udara kerana terpesona dengan hobi menternak burung yang tidak boleh terbang. Suatu ironi?

“COLIN TEH puas ladang burung unta mereka kini terlakar dalam peta pelancongan Kota Tinggi, Johor.”

Tiada yang lebih mengujakan daripada berpeluang untuk singgah di pelbagai kota utama dunia dengan pesawat. Namun dalam kehidupan sesetengah orang, perubahan keinginan adakalanya berlaku dan ia akan mempengaruhi keputusan dan tindakan.

Itulah yang dilakukan oleh Colin Teh, 55. Setelah puas dua dekad menjadi juruterbang, dia ingin kembali kepada gaya hidup yang santai, tidak terkejar-kejar dan dekat dengan persekitaran gaya desa dan ladang.

Ditambah pula dengan faktor ingin ‘berehat’, dia ingin mencuba sesuatu – menternak burung unta.

“Generasi pertama burung unta ini adalah sebanyak 32 ekor yang diimport dari Afrika Selatan. Burung-burung itu seterusnya dibiakkan dari semasa ke semasa.

Kini sudah masuk tahun ke-12 ladang ternak ini beroperasi dan burung unta ini pun sudah membiak ke generasi keenam,” ujarnya.

Colin pada mulanya mencari tapak untuk merealisasikan hobi serius itu di Kajang, Selangor. Tidak lama kemudian, dia mengembangkan ternakan tersebut di atas tanah seluas dua hektar di Teluk Ramunia, Kota Tinggi, Johor. Colin sememangnya bersedia untuk memeriahkan peta pelancongan negeri.


Selain maklumat tentangnya boleh diakses di Internet, khabar tentang ladang itu tersebar dari mulut ke mulut, sekali gus membantu strategi pemasarannya. Kini, ia menarik kedatangan ramai pengunjung yang mahu melihat sendiri keunikan burung terbesar dunia itu.

“Selain ia mempunyai nilai komersial yang tinggi untuk telur dan kebanyakan bahagian anatominya, burung unta sangat relevan dengan semua bangsa.

“Dagingnya boleh dimakan tanpa melanggar hukum agama sesiapa di Malaysia ini,” ujarnya yang mendapat bantuan jiran-jiran sekampung yang beragama Islam untuk menjalankan kerja penyembelihan.

Dari semasa ke semasa, ternakannya perlu disembelih dan dijual untuk menampung kos pengurusan dan penyelengaraan. Sepanjang mengusahakannya, ladangnya itu telah menghasilkan sehingga 6,000 biji telur sementara 4,000 hingga 5,000 ekor burung unta telah dipelihara sehingga tempoh ideal untuk dijual hasilnya.

“Dagingnya yang penuh khasiat itu juga mempunyai kandungan lemak yang sangat rendah. Ia sesuai untuk mereka yang mementingkan diet dan kesihatan. Anda patut cuba makan daging sate dan burger burung unta sebentar lagi,” kata Colin ketika EKSTRA! melawat pusat ternakannya itu.

Bagi bapa kepada tiga orang anak ini, kerja di ladang ternak itu turut dibantu oleh isterinya, Joyce Lim, 55. Pada hujung minggu atau musim cuti sekolah, mereka akan dibantu sehingga 20 pekerja memandangkan ladang ternakan mereka itu menjadi tumpuan ramai.

“Kami membawa pengunjung melihat dengan lebih dekat serta menerangkan kepada mereka tentang tabiat burung ini.

Dalam banyak aksi burung ini, pengunjung paling suka melihatnya menari seperti balet, seperti ini,” katanya yang tanpa ragu memeluk salah seekor burung unta dan seakan-akan menari bersamanya.

Dalam ‘dakapan’ sayap berbulu tebal itu, Colin mengikut gerakan si burung yang melenggok ke kiri dan ke kanan. “Adakalanya ketika burung ini hendak mengawan atau dalam mood yang baik, ia akan berpusing-pusing sehingga ia sendiri mabuk,” sambungnya.

Jika berada di ladang ternaknya itu, Colin akan turut bersama-sama para pekerjanya melayan pertanyaan pengunjung yang rata-ratanya begitu teruja dengan tarikan di situ. Jika bernasib baik, pengunjung dapat melihat anak burung unta yang sedang menetas dari telurnya.

EKSTRA! juga dipelawa masuk ke bilik inkubator. Terdapat 14 buah mesin inkubator yang setiap satunya menempatkan 18 biji telur. Colin memberitahu, cuaca di Malaysia yang tidak menentu membuatkan telur tidak boleh dieram secara semula jadi oleh induknya.

Di dalam mesin tersebut, telur-telur dipusingkan secara automatik setiap satu jam untuk mengawal kualiti pengudaraan dan kedudukan ideal di dalamnya.

“Bagi mengekalkan perjalanan bisnes ini, banyak yang menjadi cabarannya. Saya juga sedikit runsing dengan realiti harga makanan ternakan yang semakin meningkat,” luahnya.

Namun Colin percaya pada masa depan industri pelancongan di Kota Tinggi, begitu juga dengan sambutan orang ramai terhadap ladang ternakannya. Secara jujur Colin mengakui bahawa kutipan bayaran masuk yang dikenakan pada pengunjung tidak berorientasikan keuntungan.

“Saya mengenakan kadar berpatutan, dan ia tidak membantu kos pengurusan operasi secara menyeluruh. Tapi saya tidak khuatir. Kerana apa yang saya lakukan ini adalah kerana minat. Itu perkara utama dan saya puas melakukannya,” ujarnya.

Inginkan kertas kerja perniagaan berkualiti dan diterima oleh MARA dan SMEBank?Dapatkan DiSini!!

  1. a’kum bob.. saya cuma nk bgtau kt sini..
    kalo bleh nk mintak bob tolong war-warkan sama kt kwn2 len.. ada satu forum pertanian baru.. http://forumpertanian.8.forumer.com/index.php .. kt situ leh kita bertukar-tukar idea n pengetahuan dalam bidang pertanian dan ternakan.. forum ni baru je lg..
    hope bob leh support sama ye..
    thanx..

  2. kami menganjurkan kursus cendawan.yuran rm100.maklumat lanjut hubungi 0139962733

  3. kalau nak maklumkan kursus sila hantar butiran lengkap dan gambar sket..nantie saya update kat kursus…kan dah ada column tu …ni kolum artikel semasa hehehe

  4. Saya nak tahu kalau-kalau ada kursus untuk ternakan cacing. Saya minat sangat sebab saya ada dengar berita kat TV3 pasal ternakan cacing ni………

  5. bob… kalau nak minta iklankn apa2 kat blog u ada syarat tak??? atau caj ker ?? hehehehe

  6. iklan di panel kanan blog rm10 sebulan sahaja…hehehe ada sebab kena caj..insyallah traffic hits tinggi…

  7. iklan kursus di ruangan “kursus terkini” di atas percuma..

  8. Perhatian!!!!! perhatian!!!!
    Pameran Agri/Agro/Akuakultur terbesar Johor akan berlangsung pada 28 feb 08 sehingga 2 feb 08 ini.. Pastikan tidak ketinggalan, datanglah beramai-ramai..
    bertempat di ruang legar Plaza Angsana Johor Bahru…
    Mari !!!! Mari !!!

  9. interested nak tau lebih detail ttg ternakan kambing boer…ader bekas tanah sawah di melaka yg. terbiar, ingat kalau ok & sesuai nak ternak kambing kat situ tp x tau macamana nak start…

  10. nantie saya try email u something for guidance

  11. sy ader interest nk ternak burung puyuh..tp cane yerk cara nyer…ader pape kursus x dlm waktu terdekat nie..

  12. saya nk beli mesin inkubator ayam untuk 50 biji.saya di negeri sembilan sesiapa yg ade produk ini leh ctc saya 0192049944

  13. Bob,tumpang gunakan ruangan komen anda untuk menghebahkan sedikit maklumat dan memberi komen pada blog saya.
    lawatilah http://mixgoatsfarm.blogspot.com.Terima Kasih

  14. Bob!
    Saya memmang berminat dalam penternakan kambing ni!
    Tapi tak tau dari mana nak mula? Tanah? Modal?
    Boleh tak emailkan detail mengenai ternakan tersebut
    Terima Kasih

  15. Salam….. saya berminat .dalam penternakan kambing..harap dapat emailkan saya info dan maklumat.tq mr bob

  16. sy mau beli baka kambing ni, ade yg murah ke..??

  17. En Bob,

    Saya ingin tahu bagaimana nak memulakan perniagaan kambing boer, modal, kertas kerja untk membuat pinjaman di bank, tanah asal kelapa sawit dll, sekrang saya hanya makan gaji jadi saya ingin tahu mengenai menternakan kambing boer

  18. Nice & good info! Keep u’r good works…

  19. sesedara yang boleh mencari pemborong itik peking untuk dalam malaysia shj kerana saya hendak membuat networking penjualan itik.

  20. Tahniah sy ucpkn.sy kagum dgn kjayaan abg dn amat bminat untuk ternak kambg tp mslhnye sy xyakin sbb rs mcm blum ckup ilmu lg.apa yg perlu sy buat?mana sy perlu mulakan?nak jdkan abg sbgai mentor sy blh x?..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: